Click here for Myspace Layouts

Sunday 17 June 2012

~25 Nasihat Luqman Al-Hakim kepada Anaknya~

Bicara Luqman dengan anaknya menerusi satu riwayat dalam kitab Tafsir Rahul Ma'ani dan Kitab Hidayatul Mursyidin, diriwayatkan telah memberikan anaknya dua puluh lima wasiat iaitu: 

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku, janganlah engkau menelan terus sesuatu makanan kerana manisnya dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana manis itu belum tentu mendatangkan kesegaran dan pahit itu belum tentu mendatangkan musibah.

3. Hai anakku, apabila engkau ingin mencari teman sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannnya. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau maka bolehlah engkau ambil sebagai teman dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.

4. Perbaikilah tuturkatamu, halus budi bahasamu dan manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.

5. Hai anakku, janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia kamu.

6. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis airnya, kerana sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan membahayakan diri kamu.

7. Hai anakku, apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripadamu.

8. Jadikanlah dirimu dalam setiap perkara sebagai seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau menagih sanjungan dari orang lain, kerana penguasaan riya' itu akan menyebabkan diri kamu beroleh kecelakaan.

9. Hai anakku, janganlah engkau cenderung kepada dunia semata-mata dan hatimu jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau diciptakan oleh Allah bukan untuk urusan dunia sahaja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

10. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu mendatangkan manfaat kepada orang lain.

11. Hai anakku, bukanlah sesuatu kebaikan namanya apabila engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang yang mencari kayu bakar, setelah banyak terkumpul maka dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih terus mengumpulkannya.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang berlebihan kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan disayang, sesiapa yang suka berdiam diri sudah tentu akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu akan menyesal.

14. Hai anakku, bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, akan hiduplah hatimu dengan cahaya hikmah dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang subur disiram air hujan.

15. Hai anakku, bila engkau mengahdapi dua pilihan, menjenguk orang mati atau menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih menjenguk orang mati. Sebab menziarah orang mati itu akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan menghadiri pesta perkahwinan itu hanya akan mengingatkan kamu kesenangan dunia.

16. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang taqwa dan musyawarahlah segala urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat daripadanya.

17. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat daripada orang lain, akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah swt.

18. Hai anakku, seandainya orang tuamu memarahimu, maka marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-tanaman yang kering kontang.

19. Jauhilah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di siang hari dan hina di malam hari.

20. Selalulah berharap kepada Allah agar menjauhkan kamu daripada sesuatu yang menyebabkan kamu menderhaka kepada-Nya. Takutlah kepada Allah dengan benar-benar takut, tentulah engkau akan terlepas dari sifat putus asa daripada rahmat Allah swt.

21. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu yang besar dan besi yang amat berat tetapi adalah lebih berat daripada itu semua apabila engkau mempunyai jiran yang jahat.

22. Hai anakku, janganlah sekali-kali engkau mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan jahat. Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, sebaiknya engkau sendiri sahajalah yang menjadi utusan.

23. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat dusta, sebab berrdusta itu enak sekali mengerjakannya bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta yang dilakukan, akibat dan bahayanya amat besar.

24. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan dirinya daripada melakukan maksiat.

25. Hai anakku, seorang pendusta itu akan hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. Ketahuilah bahawa memindahkan batu besar yang berat dari tempat asalanya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak mahu mengerti.


Saturday 2 June 2012

~tidak menutup aurat,siapa yang akan mendapat sahamnya~



Dosa seorang wanita yang tidak menutup aurat dan melakukan maksiat tidak ditanggung olehnya seorang sahaja. Tetapi beliau turut mengheret puluhan orang lain yang akan menanggung dosa bersamanya. Adakalanya si wanita ini berkata:

‘Aku tidak menutup aurat itu aku punya pasal la! Bukan aku menyusahkan kamu pun!’

Sebenarnya beliau silap! Dek kerana dirinya yang tidak menutup aurat, beliau telah membuatkan orang-orang yang bertanggungjawab mendidik dan menjaganya turut menanggung dosa. Siapakah orang-orang itu? Mereka ialah:
Suaminya.
Ayahnya.
Saudara lelakinya.
Anak lelakinya.
Keempat-empat golongan lelaki ini perlu bertanggungjawab memikul beban dosa yang dibuat oleh seorang wanita. Adakah ini dikatakan tidak menyusahkan?Itu baru sebahagian. Mereka yang disenaraikan di atas adalah orang-orang yang perlu ‘bertanggungjawab’, belum termasuk orang-orang lain yang ‘terlibat’. Di bawah ini saya senaraikan pula orang-orang lain yang terlibat kerana dosa seorang wanita:

Sahabat

Sahabat yang menyuruh, mencadangkan dan yang dijadikan contoh untuk seorang wanita membuka aurat perlu menanggung dosa yang sama seperti wanita yang membuka aurat.Sahabat yang tidak menegur juga perlu menanggung dosa kerana tidak menyampaikan amanah dari Allah. Telah dinyatakan bahawa kita perlu membuat teguran dalam peringkat:
Tegur dengan tangan jika terdaya.
Tegur dengan mulut jika terdaya.
Benci di dalam hati. Dan ini adalah selemah-lemah iman.
Jika tidak menegur kita sekurang-kurangnya perlu merasa benci di dalam hati. Bukankah hal ini menyusahkan orang lain?

Orang yang melihat

Sesiapa sahaja yang melihat dengan syahwat dan ghairah akan menanggung dosa penglihatan dan dosa hati. Setiap mata yang memandang walaupun hanya sehelai rambut akan membuatkan si wanita itu bertambah dosa berlipat kali ganda.

Jurufoto

Jurufoto yang mengambil gambar wanita bukan mahramnya yang tidak menutup aurat adalah berdosa. Dosanya akan bertambah apabila menyebarkan gambar itu dalam majalah, internet dan seumpamanya.

Penerbit surat khabar, majalah, blog dan sebagainya.

Mana-mana sahaja media yang memaparkan aurat wanita adalah berdosa. Tengok saja penulis blog gosip, majalah, surat khabar dan sebagainya. Semuanya dipenuhi dengan gambar-gambar wanita yang tidak menutup aurat. Kesemua orang ini menanggung dosa disebabkan oleh wanita yang tidak menutup aurat.

Penjual/ penyebar

Orang yang menjual majalah, gambar-gambar dan sesiapa sahaja yang menyebarkan gambar wanita yang tidak menutup aurat dalam FB, Tagged, Friendster, Myspace dan sebagainya turut menanggung dosa. Dalam Islam, apa sahaja yang haram adalah haram untuk dijual dan disebarkan.

Pembeli/ pembaca

Orang yang membeli dan membaca turut menanggung dosa. Sesiapa yang menyumbang dan memberi sokongan untuk kejayaan mereka-mereka yang mendedahkan aurat ini akan menerima saham dosa masing-masing.
Kerana disebabkan merekalah golongan-golongan yang tidak menutup aurat ini semakin bangga dengan dosa-dosa mereka.Inilah antara orang yang akan menanggung dosa kerana seorang wanita yang tidak menutup aurat.
Tidak cukupkah senarai ini menjelaskan bahawa betapa perbuatan tidak menutup aurat itu akan menyusahkan orang lain? Itu belum termasuk orang-orang yang melihat dengan ghairah sehingga menyebabkan mereka berniat untuk merogol, mencarut, memaki-hamun, mengumpat tentang keburukan bentuk tubuh wanita itu dan banyak lagi kesan buruk yang perlu ditanggung disebabkan sikap sombong seorang wanita yang tidak menutup aurat.

Nauzubillah…Setelah membaca, mari kita renung-renungkan kembali berapa banyak dosa yang telah kita kumpulkan? Beristighfar dan bertaubatlah sebelum terlambat…Sebarkan artikel ini, semoga kita semua mendapat manfaat. InsyaAllah….

Nota :>sebarkanlah walau sepotong ayat.

~Kisah Tikus, Ayam, Kambing & Ular~


Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja.

Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus.
Sang tikus naik panik bukan kepalang.
Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkat tikus!"
Sang Ayam berkata, "Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi.
Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku."

Tikus lalu menemui Lembu. Ia mendapat jawaban sama.
"Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus."

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular.
Sang ular berkata "Eleh engkau ni... Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena.

Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa.
Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan.
Si suami pun membawa isterinya ke rumah sakit.

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam.
Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam.
Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda.
Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing.
Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.

Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya.
Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa.
Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan, sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan.
Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

MORAL: SUATU HARI... KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA DAN LANGSUNG TAK BANTU APA YANG MAMPU... FIKIRKANLAH SEKALI LAGI.

Friday 1 June 2012

~Sahabat~

Sahabat Itu Ada 3

Duhai hati, ketahuilah sahabat itu ada tiga, iaitu: sahabat yang seperti udara, sahabat yang seperti ubat dan sahabat yang seperti racun.

Duhai hati, sahabat yang seperti udara, ialah dia yang sentiasa engkau perlukankan, oleh kerana itu janganlah engkau lepaskan, ia sentiasa mengajakmu mengingat Rabb-mu dan ia mengajakmu pada kebaikan

Duhai hati, sahabat yang seperti ubat, ialah dia yang engkau perlukan manfaatnya dan ketika engkau memerlukan ia ada untukmu, sebagaimana penjual kuih, yang engkau inginkan ketika engkau menginginkan kuih atau sebagaimana seorang pemberi nasihat, yang engkau inginkan nasihatnya.

Duhai hati, sahabat yang seperti racun, ialah dia yang menzalimmu, dia yang menyusahkanmu, ia mengajakmu menjauhi kebaikan dan ia menyerumu untuk mengabaikan hak-hak Rabb-mu.

Duhai hati, kenalilah siapa sahabat disampingmu, sesungguhnya sahabat yang terbaik ialah yang selalu menyerumu untuk mendekati Rabb-mu.

Thursday 10 May 2012

~Sunnah Nabi Yang Boleh Kita Amalkan~

Daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."
(Hadis sahih riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa 11 perkara sunnah yang dituntut untuk dilaksanakan di dalam kehidupan. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Memotong misai.
Abdullah bin Umar berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai (kumis) kamu.
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan al Baihaqi.)

Kedua : Memelihara janggut.
Dari Abi Imamah : Bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya : "Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl al-Kitab. (Hadis Sahih Riwayat Ahmad dan at Tabrani.)

Ketiga : Bersugi (mengosok gigi).
Dari Aisyah r.a. " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya ". ( Hadis Riwayat Al Baihaqi )

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. telah bersabda : " Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwudhu' ". (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasar hadis di atas Nabi s.a.w menekankan bahawa bersugi adalah satu amalan yang amat dituntut kerana sekiranya bersugi ini tidak menyusahkan umatnya Nabi s.a.w akan menyuruh melakukannya ketika berwudhu'.

Bersugi merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Solat yang dikerjakan dengan bersugi adalah 70 kali lebih baik daripada solat yang dikerjakan tanpa bersugi. Di riwayatkan dalam sebuah hadis, " Hendaklah kamu mengambil berat tentang bersugi, kerana bersugi mempunyai 10 faedah:-
1. Membersihkan mulut.
2. Menjadi sebab keredhaan Allah s.w.t.
3. Menyebabkan kemarahan syaitan.
4. Allah s.w.t. dan para malaikat mengasihi orang yang bersugi.
5. Menguatkan gusi.
6. Menghilangkan gelema.
7. Mewangikan mulut.
8. Menghapuskan safra (sejenis penyakit).
9. Menguatkan pandangan mata.
10. Menghilangkan bau busuk mulut.

Keempat : Memasukkan air kedalam hidung.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda maksudnya ; "Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu bersihkan lubang hidungmu sebanyak tiga kali kerana syaitan menetap di dalamnya."

Dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya ; "Jika salah seorang daripada kamu berwudhu' maka hendaklah memasukkan air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula."

Kelima : Memotong kuku.
Mulakan kerat kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan potong mula jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan akhir sekali ibu jari tangan kanan.

Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah sunnah yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku kaki atau tangan. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan kekotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan akan dan boleh menghalang air ketika bersuci. Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang segala kekotoran atau najis akan terlekat padanya dan nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang bersaf, kemudian mengerjakan solat sunat, dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata apa-apa hinga selesai solat, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya” (Hadis Riwayat Ahmad).

Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi saw memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).

Sementara itu, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuklah anggota badanya. Kuku yang dipotong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda hormat kerana ia adalah anggota manusia.

Kitab al-Ihya’ Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum mandi junub. Ini kerana potongan itu akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Tidak digalakkan memotong kuku pada waktu malam.

Keenam : Membasuh sendi-sendi.
Membasuh sendi-sendi tangan dan kaki merupakan sunnah yang bukan hanya tertumpu kepada wudhu' sahaja iaitu tiap-tiap pemisah-pemisah jari kerana ianya tempat berkumpulnya segala kotoran. Termasuk juga kotoran-kotoran di sekeliling telinga dan di dalam lubang telinga, kesemuanya perlu dihilangkan dengan basuhan kerana apabila ianya menjadi banyak akan memudaratkan kepada pendengaran. Begitu juga kotoran-kotoran yang di dalam hidung yang melekat di sisi-sisinya serta kotoran yang ada pada badan disebabkan peluh dan habuk. Dan juga celah-celah kelengkang perlu dibasuh kerana terkumpul peluh-peluh yang boleh menyebabkan berhimpunnya bakteria dan kuman.

Ketujuh : Mencabut bulu ketiak.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."
(Hadis sahih riwayat Muslim)

Mencabut bulu ketiak: iaitu pada bahagian bawah di hujung pangkal tangan, samada lelaki mahupun perempuan sunat mencabutnya dengan menghilangkan bulu-buluannya. Diharuskan juga mencukurnya kerana tujuannya adalah membersihkan sehingga tiada lagi kotoran padanya serta menghilangkan bauan daripadanya. Waktu yang disunatkan bercukur adalah selamamana bulu-buluannya panjang berdasarkan perbezaan situasi seseorang itu. Begitu juga disunatkan bermula dengan tangan kanan.

Kelapan : Mencukur bulu ari-ari.
Mencukur ari-ari di dalam hadis digunakan dengan nama istihdad kiasan bagi mencukur ari-ari, iaitu buluan yang tumbuh di sekeliling zakar lelaki dan qubul perempuan atau di bahagian atas kedua-duanya. Merupakan sunnah sepertimana hadis-hadis yang jelas diterangkan sebelumnya. Diharuskan juga mencabut, menggunting atau menghilangkannya dengan alat-alat seperti kapur dan sebagainya. Tetapi yang paling afdal adalah mencukur. Seseorang itu mestilah mencukur dengan sendirinya. Jangan dibiarkan bulu ari-ari ini selama 40 hari.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, " Wahai Iblis, siapakah orang yang terlebih engkau sukai?"

Berkata Iblis, " Orang yang sangat aku sukai ialah lelaki atau perempuan yang tidak mahu mencukur bulu ari-arinya (bulu yang tumbuh disekeliling kemaluan) dalam tempuh 40 hari, maka duduklah aku mengecilkan diriku disitu seperti kutu. Dan bersarang aku disana dan demikian juga aku akan bergantung dan berbuai-buai pada bulu ketiak yang tidak dicukurnya atau tidak dicabutnya dalam masa 40 hari."

Kesembilan : Bersuci dengan air (beristinjak).
Beristinjak menggunakan air sepertimana yang telah banyak dijelaskan dari hadis-hadis, iaitu beristinjak dengan air. Hukum bagi istinjak adalah wajib samada membuang air kecil atau besar, tetapi penggunaan air padanya merupakan di antara sunnah-sunnah fitrah.

Hadis Anas bin Malik r.a:
Suatu ketika Rasulullah s.a.w masuk ke sebuah kebun. Baginda diekori oleh seorang kanak-kanak yang membawa bekas air bersamanya. Dia adalah seorang sahabat yang termuda di kalangan kami. Bekas air tersebut diletakkan berhampiran dengan pokok bidara. Setelah Rasulullah s.a.w selesai membuang air besar, baginda pun keluar menemui kami setelah beristinjak dengan menggunakan air tersebut.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kesepuluh : Berkumur-kumur.
Selain daripada berkumur-kumur semasa mengambil wudhu', berkumur-kumur juga digalakkan sebelum hendak makan kerana dapat membersihkan mulut sebelum makan dan selepas makan supaya sisa-sisa makanan yang berada dimulut dapat dibersihkan.

Kesebelas : Berkhatan.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."
(Hadis sahih riwayat Muslim)

Hukumnya adalah wajib kepada lelaki dan perempuan berdasarkan sebutan di dalam hadis. Tiada ditegah daripada menyatakan wajib walaupun ianya adalah sunnah fitrah. Terdapat padanya persamaan di dalam dua perkara yang berbeza.

Di antara dalil yang mewajibkannya seperti yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda Sayyidina Ibrahim telah berkhatan iaitu ketika umurnya 80 tahun.
Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Qur'an (surah An-Nahlu ayat 123) maksudnya :
“Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar”

Ini kerana, kalaulah ianya tidak diwajibkan, nescaya baginda tidak akan mendedahkan auratnya. Sekiranya bersunat itu sunnah, nescaya tidak akan membuka aurat orang yang diharamkan mendedahkannya. Bahkan syarak memerintah memotong sebahagian anggota yang sempurna, sekiranya ia tidak diwajibkan, nescaya tidak diharuskan.

Imam Syafi’i rahimahullah dan qaul yang diputuskan oleh jumhur berkhatan itu wajib bagi lelaki dan perempuan.

Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma'ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah s.a.w..di khatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab

Monday 7 May 2012

~3 Tingkatan Ilmu~

`Abdullah bin al-Mubarak mengatakan bahawa:

“Belajar ilmu itu mempunyai 3 tingkatan:

1) Barangsiapa yang sampai ke tingkatan pertama, dia akan menjadi seorang yang sombong. 

2) Barangsiapa yang sampai ke tingkatan kedua, dia akan menjadi seorang yang tawadhu`.
3) Barangsiapa yang sampai ke tingkatan ketiga, dia akan merasakan bahawa dia tidak tahu apa-apa.”

ALLAHU AKBAR! Kata-kata ini cukup dapat mengetuk jiwa ini! Betapa terzahirnya di sekeliling kita akan kelompok-kelompok manusia sesuai dengan apa yang disebut di dalam kata-kata di atas.

Yang dimaksudkan dengan sombong bagi peringkat pertama di atas ialah dia merasakan bahawa kononnya dia sudah tahu banyak perkara. Lalu dengan perasaan sombong dia mula berani mengatakan itu dan ini, melabel itu dan ini dan terburu-buru. Hal ini banyak kelihatan di sekeliling kita.

Ada yang sombong, angkuh dan besar diri dengan ilmu mereka. Ternyata mereka ini adalah golongan yang baru di peringkat awal menuntut ilmu. Ramai di peringkat ini. Bahkan kita semua juga masih di peringkat ini. Kita selalu berasa diri sudah hebat dan mengatakan orang lain salah disebabkan mereka tidak sama dengan pandangan atau pendapat atau ilmu atau pengalaman kita.

Mengetahui bahawa kita masih di peringkat pertama, justeru bersabarlah. Jangan terlalu lekas melabel. Teruskan belajar dan belajar supaya hikmah semakin menebal di dalam diri.

Golongan yang lebih tinggi dari golongan pertama ialah segolongan yang tawadhu` dengan apa yang ada pada mereka. Mereka merendah diri dengan ilmu mereka walaupun di dalam dada mereka sudah banyak ilmu dan pengalaman. Sebenarnya ilmu dan pengalaman yang banyak itulah yang menyebabkan mereka faham tentang hakikat ilmu. Lalu mereka berasa tawadhu`.

Dan yang paling tinggi dan hebat akan tingkatan ilmu mereka ialah apabila mereka merasakan mereka tidak tahu apa-apa. Ini kerana hakikat ilmu semakin jelas dan nyata di hadapan mata dan hati mereka. Semakin banyak pintu dan jendela ilmu yang dibuka, semakin banyak didapati pintu dan jendela ilmu yang belum dibuka. Justeru, mereka bukan sahaja tawadhu`, bahkan lebih mulia dari itu, mereka lalu berasakan mereka tidak tahu apa-apa lantaran terlalu luasnya ilmu sehingga mereka bisa lemas di dalamnya.

Fikirkanlah dan renungkan maksud kata-kata Ibnu al-Mubarak di atas. Moga kita dapat bermuhasabah dengannya.

ALLAHU A`LAM.

Tuesday 1 May 2012

~Fitnah Akhir Zaman~



AKU TELAH MENYAKINI BAHAWA TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG


Wahai orang-orang Islam..!
Kembalilah kepada Allah Tuhan Sekalian Alam dengan taubat yang benar. Bersihkanlah tubuhmu daripada dosa dan dan noda. Berpalinglah kamu daripada segala yang sia-sia. Sucikanlah hatimu daripada segala aib cela dan najis-najis syirik. Maka sujudlah dihadapan Tuhanmu dengan hina dan kefakiran . Dan tangisilah dirimu sebab engkau masih terhalang dari taufiq dan kebenaran. Moga-moga Allah berkenan menghulurkan tangan rahmatNya kepadamu dan memimpin tanganmu kepada jalanNya yang benar.

Demi Tuhan yang nyawaku di dalam tanganNya.. Sesungguhnya zaman ini (1432H) kita berada dibawah langit dan bumi kemurkaan Tuhan. Terkecuali kita yang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT.

Pada hari ini syirik telahpun menguasai tauhid. Maksiat terlalu banyak dan taat hanya sedikit. Kemunafikan bermaharajalela, pendustaan dan bidaah agama merata-rata. Kejujuran dan keikhlasan sudah tiada.

Orang yang benar-benar takut kepada Allah hanya satu dalam beribu-ribu orang. Amanah Allah telah dikhianati dan ibadah sudah tidak diperduli lagi. Urusan dunia dipandang tinggi dan akhirat terus dilupai.

Mufti dan kadi-kadi mabuk dengan gaji yang menjadi tuhan-tuhan duniawi. Imam dan bilal sudah diikat dengan wang yang sedikit maka hilanglah takut kepada Allah bertukar rasa bimbang dan takut pada makhluk.

Perempuan dizaman ini telah hilang rasa malu dan harga diri. Berpakaian tetapi macam telanjang, memakai kain, baju nipis, berseluar ketat sendat dengan bangganya.! Mereka lalai dan tidak takut lagi kepada azab laknat Allah. Dan maka tercetuslah nafsu-nafsu lelaki menjadi buas dan zalim. Kejadian rogol dan pembunuhan tidak dapat dibendung lagi.

Penzinaan, berzina dan zina mata sudah menjadi kebiasaan. Minum arak menjadi kegemaran. Judi dan memakan riba’ menjadi kemegahan. Lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Dadah dan hiburan menjadi pemujaan.

Majalah mendedahkan tubuh wanita bebas terjual diserata tempat dan hasil jualannya diberi makan pakai kepada anak isteri..!

Tempat-tempat penginapan sulit, rumah-rumah rahsia gelap, filem-filem lucah, bar dan disco mendapat sambutan hangat dan pembelaan. TV dan suratkhabar menjadi rujukan dan kitab-kitab mereka dan rumah-rumah mereka telah menjadi panggung-panggung wayang..! Dan alim ulamak sudah tidak berani memberikan fatwa mengenai TV dan filem-filem yang bercanggah dengan syarak kerana hendak menjaga hati orangramai!

Masjid dan surau tidak lagi menjadi tempat tempat untuk mendekati diri kepada Tuhan tetapi menjadi tempat medan perebutan pangkat dan kemasyhuran. Permainan dan pekerjaan menjadi lebih utama daripada ibadat.

Sembahyang dan puasa sudah menjadi adat bukan lagi ibadat. Akhlak semakin rosak. Segala yang mereka hendak buat semuanya boleh belaka.! Tiada siapa yang berani menyekat atau mengatakan apa-apa halal atau haram.

Raja dan penguasa sudah tidak lagi peduli kepada amanah Allah. Pejabat agama sudah menjadi topeng dan boneka para penguasa negeri! Polis dan tentera menjadi alat kepada pemerentah yang zalim tidak mengikut petunjuk agama.

Masjid-masjid hanya tinggal jasad. Jasad yang dihati mereka tiada lagi taqwa dan ketika itu yang paling jahat ialah orang alim! Daripadanyalah datangnya fitnah dan kepadanya kembali fitnah itu. Mimbar-mimbar masjid sudah dicemari oleh daki-daki dunia dan debu-debu syirik. Dan al-Quran telah dipenjarakan di dalam masjid-masjid..!

Pada hari ini ramai orang fasih lidahnya tetapi buta hatinya. Orang jahil dan orang Islam terus dalam kejahilan. Tidak mahu belajar agama dan membaiki diri. Orang yang berilmu telah terpengaruh dengan keduniaan dan hati hati mereka telah menjadi buta. Menjadi alat kepada makhluk dan berpaling diri dari Tuhan.!

Alim ulama diam membisu masing-masing menjaga kepentingan diri. Takut hilang gaji dan pencen. Alim pendusta semakin ramai yang menjadi lidah-lidah kebatilan. Bagaikan lalat yang berebut-rebut menghinggapi najis yang busuk. Dan akhirnya, mereka tertimbus di dalam najis itu.!

Orang alim di akhir zaman ini, agama dijadikan alat cari makan dan yang paling jahat telah menjadi alat melawan Tuhan.! Mereka seperti lembu-lembu yang dicucuk hidungnya dengan tali dan ditarik sesuka hati tuannya..

Pakaian sunnah nabi menjadi dagang dalam negeri sendiri dan ulama moden lebih kasih bangga meniru pakaian barat yang yang menjadi musuh Islam. Golongan yang berjuang Islam masih lagi takut dan bimbang kerana mereka masih bergantung rezeki pada tangan makhluk. Dan mereka tidak yakin rezeki dalam tangan Tuhan! Menyebabkan fatwa agamanya menjadi longgar dan berbolah-balik. Ditipu nafsu sendiri kerana takutkan terlucut habuan dunia dari tangannya.
Rahsia zikir isbah dan zikir kuat sudah tidak difahami oleh ulama akhir zaman kerana dunia telah bertahta dihatinya dan tiada sifat merendah diri. Golongan toriqat pula terumbang ambing tanpa nasihat dan pimpinan guru mursyid yang benar dari Tuhan. Mursyid yang benar kadangkala ada tetapi sukar dikenali kerana ditudung oleh alim ulama dunia yang bimbang pengaruhnya akan hilang. Jalan tasauf amat sedikit pengikut tetapi banyak fitnah. Orang yang berjalanpun jarang yang sampai. Yang benar ada tetapi amatlah jarang. Menjadi musuh kepada ulama yang terhijab dengan Tuhan.

Jaga-jaga.! Ahli tasauf tiruan juga ramai dan kebanyakkannya mereka mengambil kesempatan duit dan perempuan. Meraba-raba hal ketuhanan di dalam gelap tanpa hidayah dari Tuhan dan akhirnya tergelincir kaki dan tersesatlah jalannya.!

Iman semakin menipis, janji Tuhan menjadi keraguan di dalam diri dan bala’ dari Tuhan tidak diperdulikan lagi.

Cinta dunia, cinta harta-benda, cinta pangkat dan cinta kebesaran dan lupa mati telah melanda masyarakat. Tamak, iri-hati dan fitnah-memfitnah. Khianat-mengkhianati, megah, sombong, lupa diri dan lupa Tuhan telah menjadi seperti kuman-kuman penyakit yang telah merebak wabak dikota dan didesa.

Suami-suami menjadi dayus tidak mendidik anak isteri kepada jalan taqwa. Isteri-isteri menjadi jari telunjuk di dalam rumah tangga.! Ramai isteri yang derhaka kepada suami..
Orang tua tidak lagi mengasihi golongan muda dan golongan muda tidak lagi menghormati orang tua.

Dan tugas nasihat-menasihati sudah tidak diamalkan lagi. Jalan dunia diperluaskan dan ramai teman-taulan. Jalan akhirat telah disempitkan, dikambus-timbus dan tiada teman-taulan.

Semuanya berada diatas jalan menaiki kenderaan, satu cita-cita satu tujuan. Mencari kepentingan dunia dan kebendaan. Inilah kebanyakkan orang di akhir zaman.. Dusta, penipu dan belit jadi mainan asalkan memdapat wang.! Mereka tidak lagi takut pada azab Tuhan.

Hukum hakam Tuhan diketepikan. Orang yang benar dihina dan dicela. Orang yang pendusta dipuji-puja. Benar dan salah tidak dapat dibezakan lagi kerana telah buta mata di dalam dada. Inilah tanda orang yang dusta dalam iman.!

Manusia ramai yang menjadi seperti haiwan. Hidup, makan, minum siang dan malam. Hawa nafsu menjadi tuhan. Iman telah tercabut dan akal nuraninya sudah padam dan menjadi rosak. Pemuda-pemuda tidak lagi sayangkan nyawa mereka,, berlumba-lumba motorsikal dan kereta ditengah jalanraya seperti dirasuk syaitan..!

Pemuda-pemudi bebas bebas berkeliaran memuaskan nafsu syahwat kebinatangan mereka. Wanita zaman ini tidak lagi peduli batas-batas aurat dan pergaulan mereka. Telah menjadi senjata-senjata syaitan. Mereka berpakaian seperti pelacur. Bermegah-megah dijalanan, tempat hiburan maksiat dan tempat membelibelah.

Anak-anak ramai yang telah menderhaka pada ibubapa dan ibubapa pun juga ramai yang telah menderhaka pada Allah dan RasulNya.

Nasihat yang benar tidak didengari dan amaran Tuhan tidak dipedulikan lagi. Batas-batas Islam sudah mula pecah dan banjir kekufuran melanda negeri… Allah! Allah..!
Ajaran nabi sudah banyak dibuang dan ditambah sesuka hati, sunnah nabi telah ditinggalkan. Tuhan hanyalah tinggal namaNya sahaja. Bukan lagi yang dipuja, yang disembah dan yang ditaati.

Ruh imannya telah mati dan hanya jasad yang menunggu maut. Islam hanya tinggal namanya . Al-Quran hanya tinggal huruf-hurufnya sahaja. Zaman ini ramai manusia telah berpaling daripada Allah dan berhadap kepada makhluk.

Hanya sedikit orang yang hatinya rindu pada akhirat. Dan amat sedikit orang yang dapat merasai kelazatan, kecintaan dan kerinduan pada Allah. Apatah lagi mengenal Allah, Tuhan pencipta sekalian alam..!

Manusia dizaman ini tamak dan haloba dengan nikmat Allah tetapi mereka tidak mahu taat kepada Allah. Manusia mengetahui Allah ada tetapi mereka tidak mahu mengenal Allah dan berhadap kepada Allah. Mereka menyembah Allah tetapi tidak berusaha mengenali Allah.

Alangkah murkanya Allah.! Tidakkah mereka tahu bahawa hanya Allah sahaja tuhan yang wujud di dalam alam ini..
Manusia ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka, mereka anggap dari usaha
mereka sendiri dan dari cerdik pandai mereka. “Barangsiapa yang tidak turut perintah Allah,tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan tidak redha barang yang Allah takdirkan kepadanya maka carilah Tuhan yang lain daripada Allah dan janganlah duduk di dalam dunia Allah ini.”

Wahai orang Islam yang masih hidup hatinya..! Sebarkanlah, tiupkanlah dan nyalakanlah semula ruh jihad di dalam dirimu. InsyaAllah..! Islam akan akan bersinar kembali. Inilah fitnah di akhir zaman.

Maka tunggulah, tunggulah perang dari Tuhan Maharaja Yang Maha Perkasa..

“Wahai orang-orang yang beriman..! Janganlah kamu mengkhianati terhadap Allah dan RasulNya dan jangan pula khianati barang yang diamanahkan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Dan moga-moga kami dan kamu diselamatkan oleh Allah daripada kesesatan. Amin….





::maaf di atas segala kekurangan diri ini, aku menyampaikan bukan bererti akulah yang terbaik, tetapi melaluinya aku berusaha untuk membaiki diri ini..