Click here for Myspace Layouts

Monday 30 April 2012

~Kerana Sebuku Roti~

NASIHAT TERAKHIR AYAH Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti.” Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri. Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud. Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu. Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin. Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.” Orang yang membagikan roti itu menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti.” Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia. Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu. Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti itu!”.

Sunday 29 April 2012

Apa itu ghibah???

Adakah anda termasuk dalam kalangan mereka yang gemarkan ghibah?






Ghibah merupakan penyakit yang sangat berbahaya, yang boleh menghancurkan manusia dan menghapuskan segala kebaikan yang dilakukannya.




Apa itu ghibah?



Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menerangkan erti ghibah dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Engkau menyebut tentang saudaramu apa yang tidak disukainya. Sekiranya apa yang engkau sebut itu ada padanya, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah meghibahnya. Dan sekiranya apa yang engkau sebut itu tidak ada pada dirinya maka sesungguhnya engkau telah mereka-reka cerita tentangnya.”

(Riwayat Muslim)



Ghibah adalah haram dan termasuk dalam kategori al-kabaer (dosa-dosa besar). Firman Allah Taala bermaksud:

“...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”

(Al-Hujurat:12)



Ibn Abbas radiallahuanhu menjelaskan maksud ayat ini dengan katanya, “Allah mengharamkanghibah atau memperkatakan sesuatu keburukan seseorang mukmin sebagaimana Dia mengharamkan bangkai.”

Menurut al-Hasan al-Basri rahimahullah, “Terdapat tiga istilah yang berkaitan antara satu sama lain dalam al-Quran, iaitu ghibah, ifk dan buhtan. Ghibah ialah engkau mengatakan sesuatu yang ada pada saudaramu, ifk ialah engkau berkata tentang apa yang disampaikan kepadamu dan buhtanialah engkau mereka-reka apa yang tidak ada padanya.”



Bahaya ghibah:



1. Penyebab kepada azab kubur. Al-Bukhari meriwatkan daripada Ibn Abbas radiallahuanhu bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam melintasi dua buah kubur, lantas baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang diseksa. Mereka tidak diseksa kerana sesuatu yang besar (pada pandangan manusia). Yang seorang ini diseksa kerana tidak berselindung ketika kencing. Adapun yang seorang lagi selalu berjalan membawa cerita yang tidak baik tentang orang lain.”



2. Jatuh muflis. Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya para sahabat radiallahu anhum: “Tahukah kamu apa makna muflis?” Mereka menjawab: “Muflis pada fahaman kami ialah orang yang tiada dirham dan tiada apa-apa harta yang dimilikinya.” Baginda menerangkan (maksudnya): “Muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti membawa pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu dia pernah mencela orang ini, mengqazaf orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Lalu diberikan kepada setiap orang itu sebahagian daripada hasanahnya sehingga habis semuanya sebelum setiap orang yang disakitinya menerima habuan masing-masing. Maka diambil sebahagian daripada dosa-dosa mereka dan dicampakkan ke atasnya kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)



3. Orang yang ghibah akan menyiksa diri dengan tangannya sendiri sebagaimana diceritakan di dalam kisah Israk dan Mikraj. “Ketika aku di-Mikrajkan, aku melintasi satu kaum yang memiliki kuku tembaga. Mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka sendiri. Aku bertanya, “Siapakah mereka ini ya Jibril?” Jibril berkata, “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Dawud)



4. Iman tidak masuk ke dalam hati dan dia tidak akan mengecapi kemanisannya. Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman dengan lidahnya sedangkan iman tidak masuk di dalam hatinya, janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan menjejaki dan mendedahkan keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa menjejaki dan mendedahkan keaiban Muslimin, Allah akan menjejaki keaibannya. Dan sesiapa yang Allah jejaki keaibannya, Dia akan membongkarkannya…” (Riwayat Abu Dawud)



Kenapa manusia boleh terjerumus ke dalam perangkap ghibah?



1. Lemah iman dan tidak takut kepada Allah. Seseorang yang lemah imannya, tidak akan mampu mengawal dan menguasai lidahnya.



2. Berkawan dengan orang yang suka mengumpat. Lantaran itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan kita agar mendampingi orang yang baik-baik. Sabda baginda (maksudnya): “Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa teman rapatnya.” (Riwayat At-Tirmizi)



3. Dengki dan iri hati. Dengki merupakan penyakit hati yang terpendam di dalam diri seseorang. Orang yang dengki tidak senang hati melihat orang lain memperoleh nikmat daripada Allah dan bercita-cita agar nikmat tersebut segera hilang, malah kadang-kadang mendorongnya berusaha dengan langkah-langkah tertentu untuk menghilangkannya.



4. Cintakan dunia dan berlumba-luma untuk meraih keuntungannya. Al-Fuadhil bin Iyadh pernah berkata: “Tiada seorang pun yang cintakan pangkat kecuali dia akan berdengki, berbuat zalim, mencari-cari keaiban manusia dan tidak suka kebaikan orang lain disebut.” Sesetengah orang tidak melihat kecuali dirinya. Dia suka mengangkat dirinya dan menyebut keaiban orang lain.



5. Tidak tahu mengisi masa lapang. Sesetengah manusia berasa seolah-olah dia mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Lalu masa itu diisi dengan percakapan kosong sehingga terbawa-bawa kepada mengumpat dan mengorek rahsia orang lain.



Selamatkan diri daripada dosa ini dengan:



1. Takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat. Bertakwa kepada Allah membantu kita berhenti daripada mengumpat dan dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Firman Allah bermaksud: “...Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.” (At-Talaq: 5)



2. Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh mereka.”



3. Membaca sirah para sahabat dan salaf as-soleh serta mendampingi orang-orang yang baik. Dengan itu kita dapat mencontohi akhlak mereka. Kata seorang penyair: “Tirulah mereka walaupun kamu tidak seperti mereka; sesungguhnya meniru seseorang tokoh akan membawa kejayaan.”



4. Muhasabah diri dan mencelanya ketika ia melakukan kesalahan. Itu merupakan cara yang dianjurkan untuk membaiki kesilapan diri.



5. Sentiasa menyedari kepentingan taubat daripada dosa ghibah dan sentiasa menanam azam untuk tidak melakukannya. Minta maaf daripada orang yang pernah kita umpat dan mohon ampun kepada Allah untuk diri sendiri dan untuk kaum Muslimin seluruhnya.



Moga-moga Allah memelihara lidah kita daripada ghibahdan menyelamatkan kita daripada fitnah dunia dan akhirat